Friday 25 February 2011

Kosmetik Tiruan - Pengguna perlu bijak dan berhati-hati

Pengguna barangan kosmetik dinasihatkan berwaspada dengan produk kosmetik tiruan kerana kandungannya sangat berbahaya dan dikhuatiri boleh merosakkan kulit serta mendatangkan kesan kepada sel dalam badan.

Kosmetik yang dicampur RACUN HIDROKUINON bukan saja memberi alahan teruk kepada wajah, malah penyerapannya dalam darah melalui kulit boleh memberi kesan kepada organ dalaman.

Pengarah Penguatkuasa Farmasi, Bahagian Perkhidmatan Farmasi, Kementerian Kesihatan, Mohd. Hatta Ahmad, kandungan kosmetik ibarat bom jangka kepada mereka yang gemar menggunakannya kerana kebanyakannya mengandungi hidrokuinin dan tretinoin.

Penyerapan hidrokuinon dalam darah melalui kulit dalam kuantiti yang banyak akan menyebabkan sawan, pendengaran berdengung, pertuturan menjadi sukar difahami, perasaan lemas, mual dan muntah, kekejangan otot serta sakit kepala.

"Kesan luaran pula ialah kulit menjadi hitam terutama jika terdedah kepada cahaya matahari, lebih sensitif dan mudah terluka, kering dan gatal serta menghalang proses pigmentasi. Ia mengurangkan perlindungan ke atas kulit daripada pancaran ultra ungu dan sinaran matahari berlebihan boleh mendedahkan pengguna kepada risiko KANSER KULIT.

"Begitu juga dengan kesan sampingan penggunaan tretinoin yang boleh menyebabkan rasa terbakar pada kulit, kegatalan, kulit menggelupas dah kekeringan, jeragat hitam bertambah dan kulit menjadi sensitif kepada cahaya ultra ungu," katanya.

Individu yang melakukan kesalahan menjual kosmetik tanpa kelulusan pihak berkuasa kesihatan boleh didenda sehingga RM25,000 atau penjara sehingga tiga tahun atau kedua-duanya bagi kesalahan pertama dan denda sehingga RM50,00 atau penjara sehingga lima tahun atau kedua-duanya bagi kesalahan berikutnya.

Bagi syarikat pula, denda boleh dikenakan tidak melebihi RM50,000 untuk kesalahan pertama dan tidak melebihi RM100,000 untuk kesalahan berikutnya.

Hatta berkata, masyarakat perlu bijak menilai dan tidak mudah terpengaruh dengan produk kosmetik tiruan yang membanjiri pasaran tanpa membuat penyelidikan terlebih dahulu.

"Kosmetik yang tidak diiktiraf sebenarnya amat menakutkan kerana ia boleh merosakkan sel dalam badan secara perlahan-lahan," katanya.

Dipetik dari BERITA HARIAN, Ahad, 20 Febuari 2011.

No comments:

Post a Comment